Monday 29 September 2014

KATA-KATA ALUAN YDP PIBG SKAMD SESI 2014/15


En Mohd Yusrizal Mohd Yusof [YDP PIBG SKAMD]

Kata-kata Aluan YDP untuk Blog PIBG SKAMD 2014

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Bersua kita lagi kali ini dalam blog PIBG SKAMD 2014.  

Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada semua AJK dan guru-guru yang sama-sama bertungkus lumus melaksanakan tugas di dalam PIBG kita. Tugas ini bukannya senang memandangkan kebanyakkan daripada kita ada tugas hakiki masing-masing, baik di tempat kerja mahupun di rumah.  Namun begitu, oleh kerana tanggungjawab telah diberikan kepada kami, maka kami cuba sedaya upaya, dengan izin Allah.

PIBG SKAMD telah berkerjasama erat dengan pihak sekolah bagi melaksanakan pelbagai program tahunan, terutamanya yang melibatkan aktiviti pelajar. Sebagai ibu bapa, kami akan membantu sedaya yang mungkin bagi membolehkan proses pengajaran dari pihak guru dan pembelajaran di pihak anak-anak berjalan dengan lancar. 

Kutipan yuran PIBG adalah merupakan sumber kewangan terpenting bagi persatuan. Kepada ibu bapa yang berkemampuan, tapi masih belum menyumbang, kami galakkan supaya berhubung dengan guru kelas anak masing-masing bagi menyampaikan sumbangan. Kepada yang telah menyumbang, ribuan terima kasih kami ucapkan.

Selain daripada itu pihak PIBG juga sedang melaksanakan kutipan derma program Sihathon 2014.  Antara tujuan utama program ini adalah bertujuan mendirikan dewan terbuka di kawasan dataran sekolah.  Dengan adanya dewan terbuka ini nanti, aktiviti perhimpunan boleh diadakan dengan lebih selesa bagi anak-anak serta guru-guru kita. Aktiviti-aktiviti lain juga boleh diadakan di dewan ini, termasuk juga aktiviti yang melibatkan masyarakat sekitar. Kami sangat mengharapkan bantuan, sokongan serta sumbangan daripada ibu bapa sekelian bagi menjadikan sasaran kutipan RM300,000.00 sebagai satu kenyataan.  

Tuan-tuan serta puan-puan boleh menghubungi pihak AJK sekiranya berminat untuk membantu PIBG melaksanakan kutipan tambahan, terutamanya daripada badan-badan korporat serta syarikat-syarikat sekitar.

Pihak PIBG serta pihak pengurusan sekolah juga sedang berusaha memastikan keadaan infrastruktur utama seperti bekalan air serta keadaan tandas sekolah berada pada tahap yang baik. Umur sekolah yang tidak lama lagi akan mencapai 20 tahun, sudah semestinya memerlukan penyelenggaraan tambahan bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan baik.

Pihak PIBG serta sekolah memerlukan sokongan padu dari pihak tuan dan puan bagi memastikan yang terbaik untuk sekolah serta anak-anak kita.  Terima kasih sekali lagi atas bantuan dan sokongan semua semua dan kami mengharapkan agar ianya berterusan dan bertambah utuh lagi.

Sekian, terima kasih.
Mohd Yusrizal Mohd Yusof
YDP PIBG SKAMD 2014

26 September 2014
Shah Alam, Selangor.

1 comment: