Tuesday 26 May 2015

Kata-Kata Aluan YDP untuk Blog PIBG SKAMD 2015


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Syukur,bersua kita lagi kali ini dalam blog PIBG SKAMD 2015.  

Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua AJK dan guru-guru yang sama-sama bertungkus lumus melaksanakan amanah yang dipikul untuk menjayakan dan memastikan matlamat dan perancangan PIBG SKAMD bergerak dengan jayanya. Tanggungjawab ini bukan senang sebenarnya memandangkan kebanyakkan daripada kita ada tugas hakiki masing-masing, baik di tempat kerja mahupun di rumah.

Namun begitu, oleh kerana tanggungjawab dan kepercayaan telah diberikan kepada kami, maka kami cuba sedaya upaya, dengan izin Allah.


PIBG SKAMD berkerjasama erat dengan pihak sekolah bagi melaksanakan pelbagai program tahunan, terutamanya yang melibatkan aktiviti pelajar. Sebagai ibu bapa, kami akan membantu sedaya yang mungkin bagi membolehkan proses pengajaran dari pihak guru dan pembelajaran di pihak anak-anak berjalan dengan lancar. 

Kutipan yuran PIBG adalah merupakan sumber kewangan terpenting bagi persatuan. Kepada ibu bapa yang berkemampuan, tapi masih belum menyumbang, kami galakkan supaya berhubung dengan guru kelas anak masing-masing bagi menyampaikan sumbangan. Kepada yang telah menyumbang, ribuan terima kasih kami ucapkan. Kepada dermawan yang sudi menyumbang lebih daripada jumlah RM80.00 yang telah ditetapkan, sumbangan anda sangat kami alu-alukan.

Selain daripada itu pihak PIBG juga sedang dalam perancangan melaksanakan kutipan derma program "Karnival Ko-K Extreme Day 2015".  Antara tujuan utama program ini adalah bertujuan menyambung matlamat pencarian dana untuk mendirikan dewan terbuka di kawasan dataran sekolah. Dengan adanya dewan terbuka ini nanti, aktiviti perhimpunan boleh diadakan dengan lebih selesa bagi anak-anak serta guru-guru kita. Aktiviti-aktiviti lain juga boleh diadakan di dewan ini, termasuk juga aktiviti yang melibatkan masyarakat sekitar. 

PIBG SKAMD sangat mengharapkan bantuan, sokongan serta sumbangan daripada Skuad Khas iaitu SQUAD SARANA SEDIA BERKHIDMAT (SSSB) , Ibu bapa, Individu perseorangan, syarikat-syarikat dan badan-badan korporat bagi menjadikan sasaran kutipan RM300,000.00 sebagai satu kenyataan.Tuan-tuan serta puan-puan boleh menghubungi pihak AJK PIBG sekiranya berminat untuk membantu PIBG melaksanakan kutipan tambahan, terutamanya daripada badan-badan korporat serta syarikat-syarikat sekitar.

Pihak PIBG serta pihak pengurusan sekolah juga sentiasa berusaha memastikan keadaan infrastruktur utama seperti bekalan air serta keadaan tandas sekolah berada pada tahap yang baik. Umur sekolah yang tidak lama lagi akan mencapai 20 tahun, sudah semestinya memerlukan penyelenggaraan tambahan bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan baik.

Pihak PIBG serta sekolah sangat menghargai sokongan padu tuan puan dan semua pihak bagi memastikan segala perancangan dan persekitaran terbaik hanya untuk warga SKAMD serta anak-anak kita. Terima kasih sekali lagi atas kepercayaan, sumbangan, bantuan dan sokongan semua semua dan kami mengharapkan agar ianya berterusan dan bertambah utuh lagi.

Akhir kata, Selamat datang dan dan terima kasih atas kesudian semua melawat Blog PIBG SKAMD.

Sekian, terima kasih.
Azean Binti Ibrahim
YDP PIBG SKAMD 2015

04 May 2015
Shah Alam, Selangor.